Jumat, 28 Mei 2010


SRIKANDI CINTA II


“Hawa dijadikan daripada rusuk kiri Adam. Bukan daripada tangan untuk dijadikan penjunjung, bukan daripada kaki untuk dijadikan pengalas. Tapi daripada sisinya untuk dijadikan teman hidup. Dekat dengan lengan untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dikasihi.”

Angin syimal Perlembahan Nil menampar lembut wajah saya. Sesekali mendongak ke hamparan langit nan nebula, saya terpandangkan wajah ayu itu. Ah! Rindu ini menggamit lagi. Lantas kenangan demi kenangan menerpa ke dimensi ingatan. Saya pejamkan mata rapat-rapat. Nah! Mata hati saujana terbentang, mencari kembali kasih gadis yang telah pergi buat selama-selamanya itu. Tanpa disedari, air jernih tumpah dari kolam mata. Sungguh! Perpisahan yang direncana Ilahi amat menduga saya. Wardah kini telah pergi mendakap ketentuan yang hakiki.

Oh ya! Petang tadi, saya ada menerima sepucuk surat dari Malaysia. Mungkin ummi atau Kaklong. Lantas, saya menyiat bucu sampul. Meneliti nama pengirim warkah bertulisan tangan, kemas. Muadz!

Assalamualaikum…
Salam nur sobah kuhulurkan untuk dirimu yang jauh di mata, namun senantiasa dekat di hati ini. Apa khabar dirimu di sana? Harapanku moga kau terus tabah menghadapi hidup yang penuh ujian ini. Tenangkah bayu di bumi Anbiya? Putihkah gumpalan awan di bumi barakah itu? Cemerlangkah sinar al-sham di langit Mesir? Kepingin jua aku untuk menjejakkan kaki di bumi yang melahirkan ramai ulama terbilang itu. Harapanku agar kau jua bakal membawa pulang mutiara indah yang kau kutip di sana, Insya Allah.

Haikal,
Marsummu telah kuterima seminggu yang lalu. Terima kasih kerana kau masih mengingatiku. Ternyata sungai ukhuwah kita masih mengalir dan sungai ini pastinya kan terus mengalir hingga tumpah ke samudera nan membiru, membentuk ukhuwah yang lebih kukuh dan sejati. Membaca kisah pasang surut kehidupanmu yang kau nukilkan di marsummu, membuatkan diriku terpana. Aku tidak mahu menghukummu kerana kuyakin kini kau telah menemui kembali sinar cahaya di hujung pencarianmu. Aku bersyukur kerana kau sempat tersedar daripada kesilapanmu. Bila runtuhnya menara kesombongan diri, terlerai dosa yang telah terpaku. Ayuh! Atur setiap langkah mengejar ganjaran Ilahi. Tinggalkan satu jejak untuk Islam.

Tubir mata saya digenangi air jernih. Saya sedar kebersalahan saya pada diri sendiri, pada kedua ibu bapa yang banyak berkorban untuk kebahagiaan saya, pada Wardah, pada sahabat-sahabat, malah yang lebih jelas saya berdosa pada Allah! Syukurlah. Hidayah Ilahi masih melimpah dalam nurani…

Haikal,
Ketika tinta ini menumpahkan bait bicaraku untukmu, isteriku sedang mentartil Surah Maryam untuk zuriat keduaku yang bakal lahir sepurnama lagi. Aku bersyukur kerana dikurniakan permaisuri hati sepertinya. Benarlah! Sebaik-baik perhiasan dunia itu adalah wanita solehah. Di sisinya, puteri sulungku, Aisyatul Humaira’ yang kuambil namanya bersempena dengan nama isteri kesayangan Rasulullah, Saidatina Aisyah yang banyak meriwayatkan hadis serta menjadi tempat rujukan setelah kewafatan baginda. Terpandang wajahnya, mengembalikanku pada kenangan nan lalu yang masih utuh dipasak kerinduan.

Aku jua punya kisah duka tragis di lembaran sejarah penghidupan. Justeru, aku dapat menyelami rasa hatimu tatkala membaca warkahmu. Benarlah! Hatikan terasa pedihnya saat menanggung rindu. Saratnya duka untuk melepaskan insan yang dicintai pergi ke negeri yang abadi. Namun takdir itu lebih berhak!

Saya terpaku. Bait warkahnya saya baca berulang kali. Dia punya isteri yang solehah, puteri yang comel malah bakal menimang zuriat kedua. Ah! Tidak bahagia lagikah rafiq saya ini? Justeru saya tertanya-tanya sendirian, wujud insan ketigakah antara dia dan isterinya? Terus-terusan, mata saya melirik kalam warkah selanjutnya.

Haikal,
Puisi dan sastera telah menemukan kami. Dalam lembar nukilan, putik kasih kian menguntum. Aku terpana dengan bait puitisnya yang mengalun irama jihad. Justeru membangkitkan semangat dan mencabar ego lelakiku yang jarang sekali menukilkan sesuatu seperti itu. Nah! Aku semakin rasa tercabar tatkala isu Iraq menjadi perhatian utamanya. Kau tahu! Dia begitu hebat berhujah dengan isu tersebut, malah setiap inci kejadian di Iraq dinukilkan dalam lembaran karyanya. Wah! Hebat sekali perawan itu.
Paling aku kagumi ialah kesungguhannya mentafsir kejadian pengeboman di Bali lewat bait-bait puisinya. Kau tahu! Dia punya cara tersendiri menyokong gerak kerja sesuatu jemaah Islamiah. Tunggulah! Akan kukirimkan untukmu karya-karyanya. Pasti akan terkesan di hatimu.

Kiranya belum kumaklumkan padamu. Gadis yatim piatu, berlesung pipit nan ayu yang kukagumi itu asalnya dari negara seberang. Berdarah campuran Bugis dan Melayu. Keluarganya sebetulnya dari Tanah Melayu, namun berhijrah ke Acheh justeru menetap di sana. Kukira aku begitu bertuah kerana dapat mengenali perawan nan satu ini. Nawwar Zulaikha ! Seindah namanya, sesuci perjuangannya…

Festival Nusantara Penulis-Penulis Muda Indonesia dan Malaysia pertama kali menemukan aku dengan gadis itu. Suaranya menggegar dewan tatkala mengalun Ode Syuhada Palestin. “Malam yang menggerikan. Memerah darah suci syuhada Palestin. Fajar terbit pucat. Dalam keterpaksaan, menyuluh langkah kezaliman. Menyiat Al-Aqsa penuh kejam. Dan di sini kita, masih hidup tenang-tenang. Sedang di sana, bumi nan barakah direnggut kesucian.”

Saya semakin keliru. Dia terlalu mengkagumi gadis seberang nan satu itu. Siapakah Nawwar Zulaikha di hati Muadz? Ya! Sebetulnya, andai dihayati bait puisi Ode Syuhada itu, terus-terang saya katakan puisi itu ada nilai a’lanya. Justeru, hati saya meronta-ronta mahu membaca kalimah-kalimah selanjutnya.

Haikal,
Zulaikha begitu mengkagumi tanah tumpah kelahirannya. Katanya bumi Acheh itu adalah antara salah sebuah pusat sastera agama di nusantara suatu ketika dahulu. Seawal 1873, suara jihad mula bergegar di Acheh menentang pemerintahan Belanda. Jihad tidak hanya dalam perang senjata tajam, malah juga perang kertas. Para sasterawan Acheh telah memperjelaskan ide-ide perang dan jihad dalam dua hasil karya sastera teragung Acheh pada zaman itu : Hikayat Perang Sabil dan kumpulan syair Melayu yang khusus membicarakan peranan Habib AbdulRahman.

Pada akhir abad ke 16 dan abad 17, lahir sasterawan-sasterawan terbilang seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin, Ar-Raniry dan Abdul Rauf. Sekitar tahun 1750 hingga 1800, Palembang telah mengambil alih peranan Acheh justeru akibat kemunduran Acheh. Maka kesan yang lebih ketara pada period ini ialah pertentangan antara kaum Wihdatul Wujud dan Pembela Tasawwuf. Selepas itu, muncullah daerah Banjarmasin sebagai pusat berkembangnya berbagai-bagai syair, hikayat dan ceritapanji. Antara tokoh yang terkenal kala itu ialah Muhammad Arshad Al-Banjiri. Pusat sastera Melayu keempat ialah di Minangkabau pada 1850 hingga 1920. Tokoh-tokoh sastera seperti Ahmad Chatib Minangkabau sampailah ke Haji Rasul telah menerbitkan karya sastera agama dalam bahasa Melayu-kuno.

Nah! Ternyata gadis kelahiran Acheh ini begitu menambat hatiku justeru pengetahuannya yang begitu mendalam tentang sastera. Aku jua tidak mungkin dapat mencungkil informasi sastera lama sepertinya. Benarlah seperti katanya. Yang baru itu hadir daripada kekuatan yang lama. Pokok tidak akan dapat bertahan kala ribut dan taufan, andai tunjangnya tidak terpasak kukuh. Andai sastera dipinggir dan tidak dipedulikan di nusantara suatu ketika dulu,pasti sudah luput identiti bangsa.


Haikal,
Mengenali dan menghayati perjuangannya, membuatkan naluriku terkesan. Dia mengajarku berjuang melalui tinta. Justeru lewat warkah-warkahnya dari seberang pasti terselit satu puisi jihad yang menyemarakkan api semangatku. Nah! Aku tidak mampu menipu diriku lagi. Kerna aku semakin sedar yang hatiku sudah semakin dekat dengan hatinya. Lantas kuluahkan segala yang terbuku di dada. Menyunting gadis berdarah jihad itu menjadi suri hidupku. Justeru hanya dia yang kurasakan layak menjadi sayap kiriku untuk sama-sama terbang di daerah perjuangan mencari Maghfirah Ilahi.

Nah! Itulah lembar warkahnya yang terakhir. Setelah kunyatakan seikhlasnya harapan yang kusandarkan untuknya, dia membisu. Diam tanpa khabar. Mungkinkah aku hanya merenung purnama di langit yang tak mungkin jatuh ke ribaan menanti? Nawwar Zulaikha yang kugelar gadis jihad itu sepi dan khali daripada berita. Kenapa dia? Tidak layakkah aku untuk mawar suci sepertinya? Atau terlalu awalkah aku meluah hasrat?

Malam Deklamasi Puisi di Jakarta menemukan kami kembali. Takdir menyusun perpisahan dan takdir jua yang mempertemukan. Aku kepingin bertanyakan hal itu, namun kurasakan dia seakan mengelak. Wajahnya tidak seceria dulu. Dia kurasakan menyimpan beban derita nan sarat. Aku hampirinya. Memandang wajahnya, dia bukan gadis jihad yang kukenal. Bibirnya pucat. Matanya tampak keletihan. Dirinya kelesuan. Dapat kurasakan api semangat pudar dari dalam jiwanya. Pantas, aku bertanya keadaannya. Dia tersenyum kelat. Seketika, aku mulai ragu-ragu dengan senyuman itu.

Haikal,
Kau tahu apa yang terjadi? Dia jatuh pengsan sewaktu mendeklamasikan puisi di pentas. Aku jadi kaget. Dadaku sendat seakan-akan dihenyak sesuatu. Pantas, aku menawarkan diri membawanya ke rumah sakit. Lama dia diperiksa doktor dan awanan hitam menyelubungiku ketika doktor mengatakan dia perlu ditahan di wad. Kenapa? Aku semakin keliru. Kuhampiri Zulaikha bertanyakan hal yang sebenar. Nah! Baru kuketahui, selama 7 bulan kesepiannya itu, dia menjalani dialisis buah pinggang. Justeru terus-terusan tidak mahu membebankanku dengan derita sakitnya, dia mengambil keputusan mendiamkan diri.

Air mata yang kutahan tak mampu kubendung. Katanya, dia bukan wanita yang selayaknya untukku. Malah, dia yatim piatu yang dipelihara di rumah anak-anak yatim. Tidak pernah merasai saljunya kasih ayah. Tidak pernah merasainya lembutnya belai sayang seorang ibu. Lantas hanya tahu menagih simpati masyarakat menghulur wang saku untuk belanja hari-hari. Oh Zulaikha! Tak kutahu kisah hidupmu penuh ranjau lantaran semangat jihadmu yang telah menyembunyikan kesedihan dan duka sejarah hidupmu.

Hatiku semakin terpaut padanya. Kekentalan semangatnya dan kesabarannya menempuh ujian Ilahi membangkitkan rasa kasihku. Dia kulamar buat kesekian kalinya. Lantas menjujuh titisan jernih dari birai matanya. Kucuba menyakinkannya dengan keikhlasan dan kejujuran cintaku. Aku bersedia mengharungi segala-galanya bersamanya kerana daripada dialah kukenal erti perjuangan yang sebenar walaupun hanya melalui sebatang pena. Tak pernah kurasa kasih sebegini lantaran itu istikhorahku saban malam, hanya dirinya yang hadir mengetuk mimpi malamku.

Saya jadi tersentak! Murninya hati Muadz kerana rela menyunting kuntuman wardah itu menyeri bustan hatinya. Memang sukar untuk direalitikan namun saya kira Muadz sudahpun berjaya. Saya kagumi keikhlasan cinta Muadz sehingga saya sendiri malu mengingati kejahilan yang pernah saya lakukan dulu.

Haikal,
Bukan mudah untuk kuyakinkan dia. Namun, dengan Rahmat kasih Tuhan serta restu kedua ibu bapaku, cincin nan satu itu tersarung jua di jari manisnya. Dialah isteri solehah yang kudamba dapat bersama-samaku menyelusuri denai perjuangan seperti Ummul Mukminin Khadijah, sayap kiri perjuangan Rasulullah. Dialah permata hati yang kudamba dapat mendamaikan hatiku saat ujian getir menimpa. Dialah mestika yang kuharap mempunyai nurani nan taqwa, menunjukiku jalan kebenaran saat aku tersasar kesesatan, mempunyai nilai maruah yang tiada tandingan. Dan dialah wanita suci yang kudamba, menyusuri hidup penuh kesederhanaan. Lantas mampu menyejukkan hati setiap kali memandang. Dan kala malam nan kedinginan, rukuk dan sujud menagih cinta hakiki.

Dua minggu sekali, aku akan membawa Zulaikha ke pusat dialisis buah pinggang. Aku akui, dugaan nan berat perlu jua aku tempuhi kerana itu janjiku padanya. Malah telah kuthabatkan di hati bahawa segala-gala yang ditakdirkan Allah untukku pasti ada hikmahnya. Aku tidak kecewa lantaran aku sendiri yang mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan tugas nan menduga ini. Kau tahu Haikal… Hatiku tersentuh saat jarum nan halus menmbusi urat-urat hijaunya. Ya Allah! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kesabaran dan ketabahannya membuatkan aku semakin menyayanginya. Dia wanita setabah Sumaiyyah dan Masyitah.

Aku sudah tidak sanggup untuk melihat dia derita lagi. Aku mengambil keputusan nekad untuk membawanya ke China bagi menjalani pembedahan buah pinggang. Syukurlah! Allah itu Maha Pengasih. Zulaikha selamat dibedah. Setahun berlalu, dia turut menghadiahkanku dengan khabar yang cukup membuatkanku untuk lebih mengasihinya. Rumah kami bakal diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata, pengerat kasih aku dan dia. Ternyata kesihatannya dan kelahiran orang baru ke rumah kami, cukup untuk membuatkanku menghargai nikmat kehidupan ini.

Saya tersenyum sendirian. Syukurlah! Sahabat saya bertemu dengan wanita solehah yang sering didambanya. Bertuahnya Muadz kerana dikurniakan permaisuri hati sehebat Asiah. Wanita yang tidak gentar dengan kezaliman Firaun. Ya! Saya kagumi kesabaran Zulaikha mengharungi ujian sakit. Malah ujian dan dugaan itu jua yang mampu mendidik rohaninya menjadi insan yang lebih bertaqwa dan tahu menghargai nikmat yang dikurniakan Ilahi.




Haikal,
Terus-terusan aku mengkagumi kesabaran dan ketabahan wanita itu. Ketika aku membawanya bercuti, meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang ketiga, Zulaikha mengadu sakit di pinggangnya. Rungutannya ternyata membuatku resah. Aku terus membawanya ke klinik menjalani pemeriksaan. Ya Allah! Hatiku berderai pecah, tatkala diagnosis doktor mengatakan bahawa isteriku hanya mampu hidup selama setahun sahaja lagi. Rabbi! Apa yang mampu kulakukan untuknya? Serasa gelap pandanganku dan serasa mahu saja kuberi nyawaku untuk dia terus menikmati hidup ini. Kupandang wajah yang penuh kepasrahan itu. Dalam ribaannya, Aisyatul Humaira’ kukucup. Kugenggam erat jemari Zulaikha. Titis memanik jernih tumpah ke jemariku. Hangat, namun kupasti penuh redha menghadapi ketentuan hakiki.

Suatu malam kala bayu kedinginan, bicara Zulaikha menyentak lamunku. Permintaannya cukup berat untuk kutunaikan. Dia memintaku berkahwin lagi. Aku terkesima! Mana mungkin! Ah… samudera kasihnya begitu dalam untukku, Haikal. Tidakkan mampu kucari wanita semurni Zulaikha. Katanya, cintanya padaku sekukuh cinta Zulaikha kepada Yusuf. Kerna cinta, dia sanggup mengorbankan segala-galanya demi kebahagianku. Masanya semakin suntuk. Dia tidak mahu kupertaruhkan hidupku semata-mata untuk dirinya yang bakal pergi. Nah! Hatiku semakin tersiat kala dia mengatakan dia sudah ada calonnya untukku. Seseorang yang mampu mengasihiku dan menjagaku lebih daripada dia menyayangiku malah wanita yang mampu menjadi ibu kepada Aisyatul Humaira’ dan anak-anakku kelak.

Terus-terang kukatakan padamu, aku tidak bersetuju dengan permintaannya. Biarlah aku bersamanya hingga ke akhir hayat kami. Aku cuba meyakinkan dia bahawa ajal maut itu di tangan Tuhan. Dengan takdir Ilahi berkemungkinan dia bisa hidup lebih lama lagi. Itulah yang selalu kudoakan dalam tahajudku saban malam. Kukatakan padanya, aku tidak akan mampu menerima cinta selain cintanya. Sementelah, dialah yang telah mempertaruhkan nyawa, berjuang antara hidup dan mati semata-mata untuk mmberiku zuriat.

Warkah Muadz membuatkan saya terkedu. Hibanya hati saya mengenangkan pengorbanan murni seorang wanita. Lantas memori bersama Wardah menerpa ke ruang ingatan. Benarlah! Mawar yang disirami air ketaqwaan akan bisa tumbuh subur, mewangi di jambangan hati.

Haikal,
Selepas pulang daripada mengajar, aku melihat Zulaikha berbual dengan seorang gadis yang tidak kukenali. Ah! Manis sekali gadis itu. Berbaju kuning langsat. Terserlah lagi keayuannya dengan tudung kuning berflora. Seperti biasa Zulaikha menyambut kepulanganku dengan senyuman. Dia mengajakku duduk dan memperkenalkanku kepada gadis itu. Kau tahu Haikal… Gadis yang diperkenalkan oleh Zulaikha itu adalah bakal isteriku. Nah! Aku tidak mampu menahan amarah lagi. Lantas aku bangun dan terus melangkah keluar. Kurasakan Zulaikha sudah hilang pertimbangan. Mana mungkin aku mengahwini gadis yang langsung tidak kukenali dan menduakan kasihku pada Zulaikha. Ah! Aku tidak akan bersetuju. Sampai bila-bilapun jawapanku tetap tidak.

Malam itu, Zulaikha menghampiriku. Seharian aku tidak berbicara dengannya. Kala itu, dia mula berbicara. Tuturnya yang lembut dan penuh hemah itu membuatkanku terharu. Dia meyakinkanku, segala-gala yang dilakukannya untukku adalah semata-mata untuk kebaikan aku dan puteri kami. Katanya, dia tidak yakin dia mampu memberi kebahagiaan kepadaku lantas dia redha dan pasrah dengan kehendak takdir. Puas dia beristikhorah mencari petunjuk Ilahi. Maka keputusan yang dibuatnya adalah rencana yang ditunjuki Rabbi. Mudah-mudahan aku dapat mengecap nikmat bahagia, melayari bahtera rumahtangga bersama Nasulhah, gadis pilihan Zulaikha untukku.

Benarlah! Takdir yang menjengah memerlukan kesabaran dan ketabahan kita sebagai hamba Ilahi nan dhoif. Seminggu selepas aku diijabkabulkan, Zulaikha pergi buat selama-lamanya. Kini, di pundakku tergalas amanah Zulaikha. Isteriku Nasulhah yang perlu kusayangi dan lindungi, kenangan cinta Zulaikha, puteri kami Aisyatul Humaira’ yang perlu kudidik dan kukasihi serta zuriat keduaku yang bakal lahir.

Aku mengasihinya Haikal! Dan selama-lamanya akan kekal begitu. Hatta tiada seorang pun yang kurasakan mampu menandingi kekuatan dan keutuhan pengorbanan Nawwar Zulaikha, srikandi cintaku!

Salam dari kejauhan,
Muadz Abrar…

Saya terpana. Tidak menyangka kisah dia berkesudahan begini. Saya seka memanik jernih yang bercucuran menitis. Benarlah! Pengorbanan sesuci itu hanya mampu dilakukan oleh insan yang benar-benar tabah dan jitu taqwanya. Ternyata, di sisi Muadz telah hadir seorang srikandi cinta yang telah membuktikan hebatnya kekuatan cinta seorang isteri buat suaminya. Moga Allah menyediakan Jannatul Firdaus yang di dalamnya mengalir sungai-sungai jernih serta diserikan dengan bustan indah buat srikandi cinta nan suci ini.


Ttd
Hedy kurniawan

Tidak ada komentar:

Posting Komentar